Winner Lane dan Loser Lane
Dalam buku Freakonomics : A Rogue Economist Explores the Hidden Side of Everything tulisan Steven D. Levitt dan Stephen J. Dubner, dimuatkan satu cerita tentang nama ‘Juara’ dan ‘Gagal’.
Pada tahun 1958 di bandar besar New York, seorang lelaki bernama Robert Lane telah memutuskan untuk menamakan anak keenam beliau dengan nama Winner. Winner Lane tinggal bersama ibu bapa dan lima abang kakaknya di kawasan Harlem. Robert Lane mempunyai terdetik di hatinya, “Bagaimana anak itu boleh gagal dengan nama sebegitu?”
Tiga tahun kemudian, ahli baru keluarga Lane dilahirkan. Anak bongsu dan ketujuh Robert Lane ini diberi nama Loser. Robert bukan tidak gembira dengan anak ini, beliau ingin membuang kesan ‘bookend’ dalam diri anak-anak beliau terutamanya Winner. Kesan bookend pada nama ibarat ‘indah khabar dari rupa’. Sekiranya Winner dijangka akan gagal, adakah Loser berkemungkinan akan berjaya?
Loser Lane berjaya terbalikkan makna namanya. Beliau belajar di sekolah berasrama dengan biasiswa, graduasi daripada Kolej Lafayette di Pennsylvania. Kemudian menyertai pasukan polis Bandar New York. Dilantik menjadi detektif dan berpangkat sarjan. Beliau langsung tidak menyembunyikan nama beliau. Rakan sekerja dan kawan-kawan beliau tidak selesa memanggil nama beliau. Jadi, mereka memanggil Loser dengan nama Lou.
Abangnya Winner Lane pula sebaliknya. Dalam usia 40-an, beliau telah melakukan tiga puluh jenayah rompakan, keganasan rumah tangga, gelandangan, kerap kali ditahan polis dan pelbagai lagi kesalahan. Apa yang dibimbangi oleh ayahnya tentang kesan ‘bookend’ pada nama itu benar-benar terjadi.
Kesan ‘Bookend’ Pada Nama
Kesan bookend atau ‘bookend’ effect adalah istilah dalam pembinaan atau arkitek, ia bermaksud kesan rekahan atau ketidakstabilan pada bangunan-bangunan lama. Lazimnya ia tidak dapat dilihat di bahagian luar bangunan, tetapi di dapat dikesan pada sebelah dalam bangunan dan di bahagian tepi dinding-dinding bangunan.
Winner Lane telah mengalami kesan bookend pada dirinya. Kesan ini berlaku apabila nama itu membawa maksud yang sempurna. Dalam kehidupan, ada ketika kita menjadi juara atau winner, ada kala berlaku sebaliknya. Apabila nama tersebut terlalu sempurna, kita akan kecewa apabila kita tidak dapat mencapai sesuatu yang sesuai dengan nama kita.
Nabi Muhammad pernah menukarkan nama yang dilihat baik pada maksudnya dan melarang menggunakannya sebagai nama. Seorang wanita bernama Barrah datang berjumpa Nabi Muhammad. Barrah bermaksud ‘wanita yang paling baik.’ Nabi Muhammad pun berkata, “Janganlah tuan-tuan memuji diri sendiri, Allah lebih tahu orang yang paling baik dalam kalangan tuan-tuan.” Orang ramai bertanya, “Apakah nama yang sesuai untuk beliau?” Nabi Muhammad menjawab, “Zainab.” Rekod Sahih Muslim
Nabi Muhammad berkata, “Janganlah saudara semua namakan anak dengan nama Rabah (Untung), Yasar (mudah), Aflah (Bahagia) dan Nafi’(orang bermanfaat).” Rekod Sahih Muslim
Samrah bin Jundub memberitahu bahawa Nabi Muhammad berkata, “Janganlah saudara namakan anak dengan Yasar (mudah), Rabah (untung), Najah ( juara) dan Aflah (bahagia). Sesungguhnya ada ketika nanti orang akan bertanya, “Apakah dia ada di sana? Kebetulan dia tidak ada, maka saudara akan kata, “Tidak ada.” Iaitu tidak ada ‘mudah’, tidak ada ‘untung’, tidak ada ‘juara’ dan tidak ada ‘bahagia’. Samrah berkata, “Itulah empat perkataan, jangan saudara menambahnya lagi.” Rekod Musnad Ahmad
Larangan Nabi Muhammad terhadap nama-nama ini bagi mengelakkan kesan bookend pada masa depan individu berkenaan. Majoriti manusia tidak akan mendapat kebaikan setiap masa. Kita akan mengalami situasi yang tidak ‘mudah’dalam sesetengah situasi, tidak akan ‘untung’ dalam semua urusan, tidak akan menjadi ‘juara’ dalam apa juga situasi dan tidak mendapat ‘bahagia’ setiap masa. Sarjana Islam menyatakan larangan Nabi Muhammad itu tidak membawa kepada hukum haram, tetapi tidak digalakkan sahaja.