Saturday, July 27, 2013

Gaya Meminta Nama

Antara kaedah yang dilakukan oleh masyarakat Malaysia adalah dengan meminta nama daripada individu yang dipercayai. Antaranya seperti ustaz, orang-orang soleh, orang yang alim, orang-orang tua dan berpengalaman dan daripada individu yang pakar bahasa.

Lazimnya, proses meminta nama ini boleh berlaku sewaktu majlis tahnik atau potong jambul. Selepas individu berkenaan selesai melakukan upacara tahnik, bapa anak berkenaan akan meminta nama daripada beliau sebagai tanda penghargaan.

Amalan sebegini berlaku kepada ibu bapa yang kekurangan sumber rujukan dan mahukan nama yang baik dan nama itu diberikan oleh individu yang baik. Kaedah ini dilakukan sebagai doa supaya anak tersebut akan terpalit sama dengan tingkah laku individu yang memberi nama berkenaan pada masa depan.

Kaedah meminta nama juga berlaku kepada ahli keluarga apabila terdapat datuk yang berpengalaman, alim dan banyak ibadat. Anak cucu akan meminta datuk supaya memberikan nama kepada anak-anak mereka sebagai doa dan tanda penghargaan.

Thursday, July 18, 2013

Nama dan Kitab

Ada sesetengah individu yang menamakan anak mereka dengan nama judul buku dalam Bahasa Arab. Nama-nama judul buku pada era kegemilangan penulisan Islam dibentuk dengan nama-nama yang indah.  Sebagai contoh nama buku nahu Bahasa Arab iaitu Qatrun Nada yang bermaksud ‘setitis embun’.

Ustaz Fathul Bari Mat Jahya
Bekas mufti Negeri Perlis, Ustaz Mat Jahya memberi nama salah seorang anak beliau dengan nama Fathul Bari. Fathul Bari adalah nama sebuah buku masyhur yang menghuraikan hadis-hadis dalam Sahih al-Bukhari. Fathul Bari bermaksud ‘pembukaan kebaikan’.

Nama dan Huruf

Susunan huruf pada nama anak-anak adalah berdasarkan pilihan ibu bapa, ada nama yang dieja Azizi ada pula dieja Azeezy dan sebagainya. Kita boleh menggunakan susunan huruf-huruf itu untuk mendorong tingkah laku anak dan meningkatkan lagi konsep diri dan keyakinan diri. Anak-anak juga akan bertambah bangga dengan namanya dan semakin sayang kepada kita apabila melihat namanya dapat dibina perkataan-perkataan positif. Sebagai contoh, nama anak itu adalah Aisyah. Kita dapat membina perkataan berdasarkan huruf A, I, S, Y, A dan H.

A : Arif
I : Ikhtiar
S : Semangat
Y : Yakin
A : Alim
H : Hebat

Kata-kata juga dapat dibina juga dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab apabila nama ditulis dalam tulisan jawi. Senarai kata-kata ini dapat diubah dari semasa ke semasa ataupun berkala. Bagi membina perkataan positif dalam Bahasa Inggeris, satu laman web boleh membantu kita membina perkataan daripada huruf pada nama iaitu, http://www.themeaningofnames.org/. Isikan nama di ruang sebelah kanan laman web.


Ini adalah perkataan positif yang dibina daripada huruf pada nama ‘Ahmad’ dan ‘Aisyah’.




Bisnesman Muda Ahshik

Mohammad Ahshik Abuyuabul dari Singapura mula berniaga seawal usia 9 tahun. Beliau memulakan perniagaan dengan menjual poskad dan kad yang mengandungi kata-kata motivasi dengan menggunakan modal Dollar Singapura 1,000. Beliau diminta tandangan perjanjian daripada bapanya supaya dapat membayar balik jumlah modal tersebut yang dipinjam dalam tempoh 3 bulan. Hasil kerja keras dan usaha yang berterusan beliau berjaya membayar balik pinjaman tersebut. Bapanya juga seorang ahli perniagaan berjaya.

Beliau telah membina dan menyusun gaya bekerja beliau sebagai bisnesman berpandukan kata-kata yang dicipta daripada huruf-huruf pada namanya. Dalam satu pembentangan, beliau telah menunjukkan bagaimana perkataan positif dibina pada huruf-huruf namanya.

A : Aim (Matlamat)
H : Honesty (Jujur)
S : Share (Berkongsi Idea)
H : Humble (Rendah Diri)
I : Integrity (Amanah)
K : Knowledge (Ilmu Pengetahuan)

Setelah berusaha keras menjalankan perniagaan, beliau berjaya mengumpulkan hasil perniagan beliau sebanyak RM500,000 sewaktu berumur 12 tahun. Beliau juga telah menulis sebuah buku yang berjudul, ‘7 Steps to Become A Young Entrepreneur’. Beliau menerangkan dengan terperinci maksud disebalik perkataan positif yang dibina daripada namanya dalam menjalankan perniagaan beliau sehingga berjaya. Sekarang beliau banyak menjalankan bengkel dan ceramah bagi mendorong orang ramai terutama anak-anak muda dalam menjalan perniagaan.






Nama dan TV

Kanak-kanak banyak meluangkan masa menonton TV. Pelbagai rancangan TV yang ditonton mereka terutamanya rancangan kanak-kanak seperti animasi, drama kanak-kanak dan dokumentari haiwan. Apabila tidak menonton TV, mereka juga akan bermain-main di depan TV. Ibu bapa boleh menggunakan rancangan TV untuk menaikkan konsep diri anak-anak. Antara rancangan yang boleh digunakan ialah, berita, dokumentari dan rancangan siaran langsung.

Rancangan-rancangan ini banyak menyebut nama-nama individu tertentu. Sebagai contoh, pembaca berita TV banyak menyebut nama-nama individu yang hebat dan baik dalam laporan berita tersebut. Rancangan siaran langsung juga banyak menyebut nama-nama individu yang hebat. Sebagai contoh, rancangan siaran langsung pertandingan Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Banyak nama-nama yang disebut dalam rancangan tersebut. Selain dapat mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran, ibu bapa boleh menggunakan rancangan ini untuk menaikkan lagi konsep diri anak-anak.

Sebagai contoh, ada laporan berita TV tentang Sami Yusuf. Sewaktu laporan berita disiarkan dan gambar Sami Yusuf dipaparkan, kita terus berkata kepada anak, “Yusuf lihat, namanya Sami Yusuf. Nama ayahnya sama dengan nama Yusuf.” Antara ucapan yang boleh digunakan :

“Wah! Nama profesor ini juga Najwa.”
“Rafiq, pelumba basikal ini nama Rafiq juga.”
“CEO syarikat ini nama Aisyah juga, tentu beliau hebat.”
 “Qari dari Mesir itu bernama Malik, cuba Malik tengok, merdu betul suaranya.”
“Fatimah, qariah dari Thailand ini juga bernama Fatimah. Tajwid al-Quran yang dibacanya bagus.”
“Wah! Pengacara itu bernama Amin Idris sama macam nama Amin.”

Pengalaman penulis

Saban hari, penulis terkagum-kagum dengan nama sendiri apabila tokoh-tokoh yang hebat muncul dalam rancangan berita, surat khabar dan majalah isu semasa. Antaranya nama Saifuddin Abdullah, Saifuddin Ibrahim dan Saifuddin Nasution. Bertambah kagum apabila belajar di tingkatan tiga bagi mata pelajaran sejarah, apabila nama Sultan Brunei sewaktu Malaysia mencapai kemerdekaan tahun 1957 adalah Sultan Omar Ali Saifuddin. Kali pertama membacanya terus penulis mengingatinya hingga sekarang.

Nama dan Orang Berjaya

Jack Canfield dalam buku beliau The Success Principles menulis satu topik iaitu ‘Surround Yourself With Successful People’. Topik ini menjelaskan bahawa orang yang berjaya juga dikelilingi oleh orang yang berjaya. Ibu bapa boleh mendorong tingkah laku anak-anak dengan membawa mereka berjumpa dengan orang yang mempunyai peribadi yang baik, individu yang berjaya dalam bidang mereka yang mempunyai nama yang sama dengan nama anak kita.

Individu itu boleh dikategorikan sebagai berjaya apabila mereka sudah tamat belajar di university, mempunyai keputusan peperiksaan yang tinggi, mempunyai perniagaan yang berjaya, orang yang banyak membantu orang lain dan sebagainya. Antara skrip yang boleh kita ucapkan :

“Tasnim, nama kakak ini juga Tasnim, sekarang beliau sedang menyampung pelajaran di peringkat Phd di Amerika.”
“Malik, mari ibu perkenalkan, ini Doktor Malik.”
“Aisyah, profesor ini juga bernama Aisyah. Beliau pakar dalam bidang genetik haiwan.”
“Salim, kawan ayah ini bernama Salim. Sewaktu belajar dahulu, beliau banyak bantu ayah. Sekarang pun beliau masih membantu ayah.”

Caranya adalah, dengan menyebut nama anak, sebut nama individu berjaya tersebut dan nyatakan status atau pencapaiannya. Apabila anak-anak dapat tahu bahawa namanya juga dimiliki oleh orang-orang yang berjaya. Mereka juga menganggap bahawa mereka juga akan tergolong dalam kelompok itu dan berusaha untuk memenuhi ‘label’ yang telah mereka berikan kepada diri sendiri.