Friday, November 9, 2012

Kesan 'Bookend' Pada Nama : Winner dan Loser Lane


Winner Lane dan Loser Lane

Dalam buku Freakonomics : A Rogue Economist Explores the Hidden Side of Everything tulisan Steven D. Levitt dan Stephen J. Dubner, dimuatkan satu cerita tentang nama ‘Juara’ dan ‘Gagal’.

Pada tahun 1958 di bandar besar New York, seorang lelaki bernama Robert Lane telah memutuskan untuk menamakan anak keenam beliau dengan nama Winner. Winner Lane tinggal bersama ibu bapa dan lima abang kakaknya di kawasan Harlem. Robert Lane mempunyai terdetik di hatinya, “Bagaimana anak itu boleh gagal dengan nama sebegitu?”

Tiga tahun kemudian, ahli baru keluarga Lane dilahirkan. Anak bongsu dan ketujuh Robert Lane ini diberi nama Loser. Robert bukan tidak gembira dengan anak ini, beliau ingin membuang kesan ‘bookend’ dalam diri anak-anak beliau terutamanya Winner. Kesan bookend pada nama ibarat ‘indah khabar dari rupa’. Sekiranya Winner dijangka akan gagal, adakah Loser berkemungkinan akan berjaya?

Loser Lane berjaya terbalikkan makna namanya. Beliau belajar di sekolah berasrama dengan biasiswa, graduasi daripada Kolej Lafayette di Pennsylvania. Kemudian menyertai pasukan polis Bandar New York. Dilantik menjadi detektif dan berpangkat sarjan. Beliau langsung tidak menyembunyikan nama beliau. Rakan sekerja dan kawan-kawan beliau tidak selesa memanggil nama beliau. Jadi, mereka memanggil Loser dengan nama Lou.

Abangnya Winner Lane pula sebaliknya. Dalam usia 40-an, beliau telah melakukan tiga puluh jenayah rompakan, keganasan rumah tangga, gelandangan, kerap kali ditahan polis dan pelbagai lagi kesalahan. Apa yang dibimbangi oleh ayahnya tentang kesan ‘bookend’ pada nama itu benar-benar terjadi.


Kesan ‘Bookend’ Pada Nama

Kesan bookend atau ‘bookend’ effect adalah istilah dalam pembinaan atau arkitek, ia bermaksud kesan rekahan atau ketidakstabilan pada bangunan-bangunan lama. Lazimnya ia tidak dapat dilihat di bahagian luar bangunan, tetapi di dapat dikesan pada sebelah dalam bangunan dan di bahagian tepi dinding-dinding bangunan.

Winner Lane telah mengalami kesan bookend pada dirinya. Kesan ini berlaku apabila nama itu membawa maksud yang sempurna. Dalam kehidupan, ada ketika kita menjadi juara atau winner, ada kala berlaku sebaliknya. Apabila nama tersebut terlalu sempurna, kita akan kecewa apabila kita tidak dapat mencapai sesuatu yang sesuai dengan nama kita.

Nabi Muhammad pernah menukarkan nama yang dilihat baik pada maksudnya dan melarang menggunakannya sebagai nama. Seorang wanita bernama Barrah datang berjumpa Nabi Muhammad. Barrah bermaksud ‘wanita yang paling baik.’ Nabi Muhammad pun berkata, “Janganlah tuan-tuan memuji diri sendiri, Allah lebih tahu orang yang paling baik dalam kalangan tuan-tuan.” Orang ramai bertanya, “Apakah nama yang sesuai untuk beliau?” Nabi Muhammad menjawab, “Zainab.” Rekod Sahih Muslim

Nabi Muhammad berkata, “Janganlah saudara semua namakan anak dengan nama Rabah (Untung), Yasar (mudah), Aflah (Bahagia) dan Nafi’(orang bermanfaat).” Rekod Sahih Muslim

Samrah bin Jundub memberitahu bahawa Nabi Muhammad berkata, “Janganlah saudara namakan anak dengan Yasar (mudah), Rabah (untung), Najah ( juara) dan Aflah (bahagia). Sesungguhnya ada ketika nanti orang akan bertanya, “Apakah dia ada di sana? Kebetulan dia tidak ada, maka saudara akan kata, “Tidak ada.” Iaitu tidak ada ‘mudah’, tidak ada ‘untung’, tidak ada ‘juara’ dan tidak ada ‘bahagia’. Samrah berkata, “Itulah empat perkataan, jangan saudara menambahnya lagi.” Rekod Musnad Ahmad

Larangan Nabi Muhammad terhadap nama-nama ini bagi mengelakkan kesan bookend pada masa depan individu berkenaan. Majoriti manusia tidak akan mendapat kebaikan setiap masa. Kita akan mengalami situasi yang tidak ‘mudah’dalam sesetengah situasi, tidak akan ‘untung’ dalam semua urusan, tidak akan menjadi ‘juara’ dalam apa juga situasi dan tidak mendapat ‘bahagia’ setiap masa. Sarjana Islam menyatakan larangan Nabi Muhammad itu tidak membawa kepada hukum haram, tetapi tidak digalakkan sahaja.


Tuesday, October 9, 2012

Nama dan Kesan Psikologi

Kajian di United Kingdom mendapati nama anak lelaki yang diberikan nama seakan-akan perempuan akan berkelakuan seperti perempuan apabila mereka besar. Bukan bermakna mereka akan menjadi pondan dan sebagainya. Tetapi tingkah lakunya seakan-akan perempuan.

Begitu juga dengan anak perempuan diberi nama lelaki contohnya Alexis. Alexis berasal dari nama lelaki iaitu Alex, apabila ditambah huruf dan diberikan kepada anak perempuan. Kelakukan anak itu apabila dewasa adalah seperti lelaki. Suka hal-hal yang lasak, keras hati dan sebagainya.

Kajian terhadap tiga ribu orang di UK mendapati satu daripada lima orang berasa menyesal memberikan nama yang mereka pilih kepada anak mereka.

Saturday, September 29, 2012

Gaya Moden : Sebutan


Sebutan

Pemilihan nama anak berdasarkan sebutan yang cantik dan indah adalah pendekatan popular pasangan ibu bapa yang moden. Faktor-faktor seperti maksud nama tersebut tidak diberi perhatian yang serius. Nama yang mempunyai sebutan Wani di belakang seperti Syazwani, Halwani, Salwani termasuk sebutan Wati iaitu Salwati, Rosniwati, Lizawati dan sebagainya adalah berdasarkan kecantikan pada sebutan sahaja. Selain itu, nama-nama seperti Natasha, Qaisara, Maisara juga dipilih berdasarkan sebutan yang cantik di samping ia menjadi trend popular pada suatu masa. Lazimnya nama-nama berkenaan tidak mempunyai makna apa-apa dalam Bahasa Arab, tetapi ada juga yang mempunyai maksud yang baik. Apabila pasangan mula mengambil berat soal maksud yang baik dan sebagainya. Faktor sebutan sudah menjadi faktor yang kedua.

Gaya Lama : Nama Tokoh

Nama Tokoh

Antara kaedah yang popular sejak dari dahulu sehingga sekarang adalah menamakan anak berdasarkan nama tokoh tertentu. Tokoh-tokoh ini juga termasuk nama-nama Nabi, sahabat dan ahli keluarga Nabi Muhammad serta tokoh-tokoh selepas itu. Begitu juga nama-nama tokoh yang masyhur dengan ilmu dan sumbangan dalam agama. Nama-nama seperti Nawawi, Syafie, Hanafi, Hanbali, Bukhari dan sebagainya memang popular. Meletakkan nama anak berdasarkan nama tokoh juga adalah suatu harapan dan doa berpanjangan supaya anak akan mengikuti jejak langkah tokoh berkenaan. Meletakkan nama berdasarkan nama tokoh adalah lebih realistik. Tambahan pula nama tersebut mempunyai sumbangan besar kepada masyarakat. Ia menguatkan lagi keyakinan dan self esteem anak-anak untuk mengikuti jejak langkah tokoh berkenaan apabila mereka mengetahui tentang latar belakang tokoh berkenaan.


Zubair bin Awwam adalah sahabat dan biras Nabi Muhammad. Beliau menamakan beberapa orang anaknya dengan nama sahabat-sahabat yang telah mati syahid dalam peperangan. Semua sembilan anaknya bernama Abdullah, ‘Urwah, Hamzah, Ja’far, Mus’ab, ‘Ubaidah, Khalid, ‘Umar dan Munzir.

Satu kelompok orang dari luar Madinah datang ke Madinah bertemu dengan orang-orang di bandar Madinah. Mereka memanggil nama sesama mereka dengan nama Musa, Harun dan Isa. Lalu ada orang di situ memberitahu Nabi Muhammad tentang panggilan nama-nama itu. Nabi Muhammad berkata, “Sesungguhnya mereka menamakan anak-anak mereka dengan nama para nabi dan orang-orang saleh dahulu kala.” (Rekod Sahih Muslim)



Nama Profesor Emeritus Mahmood Zuhdi

Beliau merupakan individu yang terkenal dalam bidang pengajian Islam. Beliau banyak memberi sumbangan dalam dunia akademik dan masyarakat. Nama beliau juga unik jika dibandingkan dengan nama-nama individu yang seusia dengan beliau. Nama beliau sebenarnya diambil daripada tokoh agama yang masyhur di Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Beliau ialah Syeikhul Islam Selangor Tengku Mahmud Zuhdi (1876 – 1956). Beliau adalah mufti kerajaan Selangor bermula pada tahun 1929.  Nampaknya Profesor Mahmood Zuhdi mengikut jejak langkah pemilik asal nama berkenaan. Sekarang beliau bertugas sebagai dekan di Fakulti Ilmu Wahyu di UIAM.

Thursday, September 27, 2012

Gaya Moden : Trend Semasa


Berdasarkan Trend Semasa

Kaedah ini juga biasa dipilih oleh ibu bapa apabila melihat dan membaca nama-nama yang menarik digunakan oleh ibu bapa lain untuk menamakan anak masing-masing. Dalam era 90an, ramai kanak-kanak perempuan yang diberi nama bermula dengan nama Nurul dan Nur. Bahkan nama Nur pada permulaan nama perempuan masih masyhur sehingga sekarang. Nama seperti Mohd, Ahmad pada perkataan pertama juga adalah nama berdasarkan trend semasa ketika itu.

Kemudian, muncul pula trend pilihan baru bagi nama-nama seperti Danial, Danish, Qistina, Balqis, Batrisya, Ayuni dan pelbagai lagi. Laman web Babycenter Malaysia telah menyenaraikan 25 nama popular digunakan pada tahun 2011 di Malaysia.

Nota : Nama Jayden, Isaac, Chloe, Alicia adalah nama bukan Islam.

Gaya Moden : Berdasarkan Huruf


Berdasarkan Huruf

Kaedah yang lazim digunakan oleh ibu bapa sekarang adalah kaedah pencarian nama anak berdasarkan huruf pertama dalam perkataan tersebut. Sekiranya dipilih huruf ‘A’, maka nama seperti Ahmad, Amir, Aqil atau Afiqah, Atikah, Adibah dan sebagainya akan diambil kira. Pemilihan huruf pertama juga diambil kira berdasarkan huruf yang disukai dan huruf pertama pada nama ibu bapa anak. Pilihan nama berdasarkan huruf ini tidak menitikberatkan tentang makna sesuatu nama itu. Cukup sekadar ia mempunyai makna yang baik, sebutan yang menarik maka ia dikira sesuai. Faktor-faktor seperti makna, doa berpanjangan, penilaian psikologi anak di masa akan datang tidak begitu diberi perhatian.

Trend ini juga boleh dilakukan dengan memilih gabungan dua huruf. Seperti gabungan huruf pertama ibu dan bapa atau gabungan yang lain. Sebagai contoh, penulis telah bersetuju dengan isteri untuk memilih gabungan huruf ‘A’ dan ‘S’ iaitu sempena nama penulis. Maka, anak-anak kami semuanya bermula dengan gabungan huruf ‘A’ dan ‘S’ iaitu ‘Amir Siddiqiy, ‘Aqib Suyufi dan ‘Aish Samhani.


Gaya Lama l Gaya 'Ahmad Albab'


Gaya ‘Ahmad Albab’

Ahmad Albab ialah watak anak dalam salah sebuah filem Seniman P. Ramlee berkaitan anaknya yang bernama Ahmad Albab. Albab dalam Bahasa Arab bermaksud ‘pintu’. Ia diberi nama sedemikian oleh datuknya lakonan A.R. Tompel apabila Ahmad Albab berhenti menangis sewaktu datuknya mengetuk pintu. Kaedah memberikan nama berdasarkan situasi masyhur di zaman ibu bapa dan nenek moyang kita. Kita biasa mendengar nama-nama individu yang bernama Sabtu, Khamis, Isnin/Ithnin, Syawal, Ramdan (Ramadhan), Fitri, Putih, Merah, Awang dan sebagainya.

Nama-nama berkenaan adalah berdasarkan situasi seperti hari tertentu, bulan, keadaan anak sama ada jantina atau sifat pada badan dan situasi lain yang sesuai. Walaupun gaya ini dilihat sebagai gaya yang kolot dan ketinggalan, namun ia juga sesuai digunakan dalam konteks tertentu.

Nama ‘Majdah Nasri binti Yusof’

Perkataan ‘Nasri’ pada nama ini adalah unik. ‘Nasri’ biasanya diberi nama kepada anak lelaki, namun ‘Majdah Nasri’ ini adalah nama perempuan. Ibu bapa Majdah meletakkan nama ‘Nasri’ pada nama anak perempuan ini adalah sebagai doa kepada keluarga. Sewaktu kelahiran Majdah, hidup keluarga ini sangat susah dan terpaksa berjimat cermat. Nasri dalam Bahasa Arab bermaksud ‘pertolonganku’. Nama ‘Nasri’ memberi harapan dan doa supaya kelahiran anak perempuan ini membawa pertolongan dari Allah supaya hidup lebih senang dan bahagia.

Memberi nama anak berdasarkan situasi juga sesuai bagi memberi harapan kepada seluruh keluarga dan sebagai doa yang berpanjangan kepada Tuhan setiap kali nama anak itu disebut, ditulis dan sebagainya.

Apabila kehidupan keluarga dalam keadaan sedih, berikan nama anak yang membawa makna gembira dan bahagia. Apabila kehidupan keluarga yang susah dan terpaksa berjimat cermat, boleh berikan nama anak yang bermaksud kaya, mulia, tabah dan sebagainya.

Nota : Majdah Nasri adalah nama kakak penulis.

Monday, September 10, 2012

Tampal, Tulis, Anak Bertambah Yakin


Apabila membeli buku-buku atau majalah untuk anak-anak. Cerita atau maklumat yang mempunyai nama yang sama dengan nama anak itu akan membuatkan anak itu bertambah bangga dengan nama yang diberikan oleh ibu bapanya. Sekiranya ada artikel majalah yang menceritakan tentang tokoh-tokoh yang mempunyai nama yang sama dengan nama anak. Minta mereka baca artikel itu atau bacakan untuknya kisah tokoh itu.

Kemudian, minta anak itu tulis pada kertas yang ditampal di bawah kertas nama dan makna itu. Contohnya, nama anak kita adalah ‘Yusuf’. Kita boleh tambahkan lagi keyakinan anak dengan melakukan seperti berikut :
  1. Selepas ditulis sifat-sifat baik tentang Nabi Yusuf. Kita lekatkan kertas lain di bawah yang ditulis pada sebelah atas, ‘Orang-orang Bernama Yusuf’. 
  2. Di bawah itu kita buatkan garisan untuk anak kita tulis atau kita sendiri menulis tentang nama tokoh yang sama dengan anak kita serta ciri atau status yang dimiliki tokoh tersebut. Contohnya, Yusuf al-Qaradhawi, Ketua Kesatuan Ulama Sedunia. Yusuf Islam, penyanyi yang memeluk Islam dan menyebarkan Islam ke seluruh dunia. Yusuf Estes, paderi Kristian yang memeluk Islam. Berjaya mengislamkan ramai orang di seluruh dunia.
  3. Cetak gambar tokoh berkenaan dan lekatkan pada kertas tersebut.
  4. Sekiranya ada perkara lain yang mengaitkan dengan tokoh berkenaan, cetak dan lekatkan sama. Contohnya, kaver buku, lukisan, inovasi, gambar tokoh dalam situasi yang pelbagai dan sebagainya.
  5. Sekiranya ada kata-kata hikmah dan mutiara kata yang menarik daripada tokoh berkenaan, cetak dan tampal di sebelah kertas nama dan makna ini. Mutiara kata ini akan memberi anak-anak kita dorongan dan inspirasi bahawa pemilihan nama untuknya bukanlah hanya nama semata-mata. Tetapi ada cita-cita, impian dan tanggungjawab kepada semua manusia.


Menaikkan Self Esteem dan Mengubah Tingkah Laku Anak Melalui Nama



  1. Tulis atau cetak nama anak pada satu kertas.
  2. Di bawah nama itu diletakkan maksud bagi nama tersebut.
  3. Sekiranya nama itu merujuk kepada tokoh-tokoh tertentu, tulis sifat-sifat baik dan sumbangan tokoh berkenaan.
  4. Sekiranya anak juga tahu tentang sifat-sifat baik tokoh itu, minta anak-anak beri maklumat berkenaan dan tulis bersama-sama mereka.
  5. Tampal di bilik tidur atau di tempat yang selalu dilihat oleh anak-anak.
  6. Belikan buku-buku cerita yang mengandungi nama-nama mereka sendiri berkaitan tokoh dan sebagainya. Ini meningkatkan lagi persepsi bahawa nama-nama mereka dimiliki oleh orang yang mempunyai tingkah laku yang baik dan mempunyai sumbangan yang besar kepada orang ramai.

Contohnya seperti di bawah :





Tuesday, September 4, 2012

Nama Perempuan dan Lelaki - 4/9/2012



Abiyyah : Jiwa yang hebat, mulia, pemurah.
Adhwa' : cahaya, sinar.
Adibah : (1) bersopan santun, terpelihara daripada sifat jahat, terpelajar, terdidik. (2) Pintar, bijaksana, elok budi pekerti, yang indah.
Adma' : hitam manis.
Afrah : gembira, ceria.
Agharid : merdu, kicauan burung.
Ahlam : berakal, pemaaf apabila mampu.
Amal : harapan
Aminah : ketenangan, dapat dipercayai kepadanya. Nama ibu kepada Nabi Muhammad Aminah binti Wahab.
Aribah : pintar, cerdik, berkemahiran.
Arij : bau yang baik.
Arjuwan : kemerah-merahan.
Arwa : (1) perempuan mulia, tempat berlindung. (2) kambing hutan.
Asilah / Asilah : (1) licin. (2) Lemah lembut. (3) mulia, murni, asli.
Asma : lebih tinggi.
Asywaq : rindu, kekasih.
Athilah : asal-usul baik, mulia, berasal daripada keluarga bangsawan dan keluarga terhormat.
Azahir : (zahr)
Ibtikar :
Ibtisam : senyuman, ketawa kecil.
Ibtisamah : Ketawa kecil yang tidak mengeluarkan suara.
Ifraz : membezakan, berbeza dengan yang lain, istimewa.
Iftikar : memiliki fikiran dan peringatan.
Ihtisyam : terlindung, pemalu, hidup yang terpuji.
Ijtihad : tekun, berusaha keras dalam sesuatu kerja.
Islah : menghapuskan keburukan.
Ittifaq : Sepakat
Izar : (1) selendang, selempang kebesaran. (2) busur panah.


Sunday, August 26, 2012

Nama Anak Lelaki (1)


Aban : Perbuatan menjelas dan menerangkan. Iaitu terang dan jelas.
Abda’ : Orang yang mahir dalam kerjanya dan menyusunnya daripada bentuk asal.
Ablaj : Wajah yang putih dan murni. Seluruh wajah kelihatan gembira dan ceria.
Absam : Pemilik bibir yang tersenyum atau orang yang selalu tersenyum.
Absyar : Manusia yang segak
Abyan : Orang yang memiliki kemampuan memberi huraian dan fasih bertutur.
Ad’aj : Mata yang luas, terang warna hitam dan putih pada mata.
Adham : Kuda hitam
Adib : Orang beradab sopan dan mahir dengan sastera dan seni.
Afdhal : Pemilik kedudukan yang mulia dan keturunan yang baik.
Afkhar : Mempunyai ciri-ciri mulia dan baik yang boleh dibanggai.
Aflah : Pejaya, orang yang berjaya atas apa dia mahu. Orang yang berjaya dalam usaha dan gigih dalam perbuatannya.
Afqah : Sarjana dalam hal agama, fikah dan syariat.
Ahmad : Penuh pujian dan sanjungan.
Ahsan : Paling baik dan paling elok. Orang yang tekun pada kerja dan elok pembuatan.
Ajmal : Paling elok dan paling segak.
Ajzal : Sangat mulia dan luas pemberian.
Akhyar : Lebih baik daripada segala yang mulia.
Akmal : Orang yang sempurna pada pengaruh, status, kekayaan dan meliputi.
Akram : Memiliki kemuliaan.
Alfi : Teman, tempat bermesra, tempat yang menggembirakan.
Alif : Benar, lucu dan kasih kepada orang yang bersopan kepadanya dan kepada orang yang disantuninya.
Alma’i : Pintar, luas kefahaman dan cerdik.
Aluf : Dipenuhi kelembutan, benar dalam perhubungan iaitu akrab.
Aman : Tenang, berkuasa dan melindungi.
Amin : Tempat amanah, kepercayaan, ketenangan, penjaga amanah yang komited.
Amir : (1) Pemilik urusan, ketua yang tegas. (2) Ketua segala urusan pentadbiran, mesyuarat dan pembuat keputusan. Orang yang lahir di rumah pemimpin seperti anak raja.
Amjad : Hebat, maruah tinggi, kedudukan yang mulia.
Anas : Kelembutan dan sopan santun. Ia juga bermaksud kumpulan manusia atau sesuatu tempat yang didiami oleh manusia dan ketenangan. Nama salah seorang pembantu peribadi Nabi Muhammad sejak berumur 10 tahun iaitu Anas bin Malik. Nabi Muhammad mendoakan beliau agar mempunyai anak yang ramai dan harta yang banyak. Direkodkan anaknya seramai 241 orang, 120 daripada jumlah itu meninggal dunia sewaktu beliau masih hidup. Umur beliau ketika meninggal dunia ialah 103 tahun.
Anjah : Memperolehi banyak kejayaan.
Ansari : Merujuk gelaran kepada penduduk Madinah. Ansar bermaksud penolong.
Anwar/Anuar : Cahaya yang terang. Sinaran yang elok warnanya, jelas dan cemerlang.
Arqam : Sikap berani.
Arsyad/Arshad : Umur yang matang dan mampu membezakan.
As’ad : Pemilik bahagia. Bahagia yang menyeluruh dan pemilik kedamaian.
Asad : Singa. Bermakna pemilik hutan belantara yang kaya. Ia juga bermaksud tujuh keberanian pada seseorang yang memiliki kekuatan.
Asir : Kuat dan teguh pada kejadian dan akhlak. Memiliki akhlak yang mulia.

Thursday, August 23, 2012

Nama Cantik, Makna Pelik

Gambar Hiasan
Ada kalanya kita suka dan terpesona dengan nama-nama Arab atau nama-nama lain tanpa mengetahui maksud dan maknanya yang sebenar. Antara nama-nama yang cantik tetapi maknanya pelik dalam Bahasa Arab.

Abdul Manaf : Hamba Berhala Manaf
Abdun/Abdul Nabi : Hamba Nabi
Atan - Keldai betina
Azina : Zina
Azzani : Penzina lelaki
Fisya/Fisyah : plug, soket, palam pencucuh.
Fuhair/Fuhairah : batu-batu kecil, anak batu.
Haikal : rumah berhala, kerangka, lembaga
Halwani : lelaki penjual kuih
Hazan : Kesedihan
Hazaniyyah : Hidup penuh sedih
Hazin : Lelaki yang bersedih
Nurul 'Uzza : Cahaya Berhala ’Uzza
Rihab - buruk, keji
Syamsul Bahri - Matahari lautan
Syarrul Bariyyah : Seburuk-buruk ciptaan
Wati : Bersetubuh
Zaham - menyibuk, mengganggu
Zalika - itu
Zaniyah : Penzina perempuan
Zanjabila : Halia

Nama Anak Tercinta

Memberikan nama yang baik adalah antara tanggungjawab ibu bapa terhadap anak. Nama yang memberi makna yang baik akan memberikan pengaruh yang baik kepada anak-anak. Nama juga memainkan peranan sebagai doa berpanjangan kepada anak-anak. Apabila ibu bapa memberikan nama sebagai Abqari yang membawa maksud pintar dan cerdik. Maka dengan sendirinya nama itu merupakan doa kepada Allah dan harapan kepada anak itu supaya menjadi seperti yang diingini oleh ibu bapa.

Anak-anak tentu terhutang budi apabila nama yang dipilih untuknya membawa maksud yang baik dan disukai oleh orang lain. Apabila ada orang memuji, "Wah! Nama Abdul Rahman itu nama sahabat Nabi Muhammad yang dermawan dan ahli perniagaan yang berjaya." Hati kita tentu berbunga-bunga.