Saturday, September 29, 2012

Gaya Lama : Nama Tokoh

Nama Tokoh

Antara kaedah yang popular sejak dari dahulu sehingga sekarang adalah menamakan anak berdasarkan nama tokoh tertentu. Tokoh-tokoh ini juga termasuk nama-nama Nabi, sahabat dan ahli keluarga Nabi Muhammad serta tokoh-tokoh selepas itu. Begitu juga nama-nama tokoh yang masyhur dengan ilmu dan sumbangan dalam agama. Nama-nama seperti Nawawi, Syafie, Hanafi, Hanbali, Bukhari dan sebagainya memang popular. Meletakkan nama anak berdasarkan nama tokoh juga adalah suatu harapan dan doa berpanjangan supaya anak akan mengikuti jejak langkah tokoh berkenaan. Meletakkan nama berdasarkan nama tokoh adalah lebih realistik. Tambahan pula nama tersebut mempunyai sumbangan besar kepada masyarakat. Ia menguatkan lagi keyakinan dan self esteem anak-anak untuk mengikuti jejak langkah tokoh berkenaan apabila mereka mengetahui tentang latar belakang tokoh berkenaan.


Zubair bin Awwam adalah sahabat dan biras Nabi Muhammad. Beliau menamakan beberapa orang anaknya dengan nama sahabat-sahabat yang telah mati syahid dalam peperangan. Semua sembilan anaknya bernama Abdullah, ‘Urwah, Hamzah, Ja’far, Mus’ab, ‘Ubaidah, Khalid, ‘Umar dan Munzir.

Satu kelompok orang dari luar Madinah datang ke Madinah bertemu dengan orang-orang di bandar Madinah. Mereka memanggil nama sesama mereka dengan nama Musa, Harun dan Isa. Lalu ada orang di situ memberitahu Nabi Muhammad tentang panggilan nama-nama itu. Nabi Muhammad berkata, “Sesungguhnya mereka menamakan anak-anak mereka dengan nama para nabi dan orang-orang saleh dahulu kala.” (Rekod Sahih Muslim)



Nama Profesor Emeritus Mahmood Zuhdi

Beliau merupakan individu yang terkenal dalam bidang pengajian Islam. Beliau banyak memberi sumbangan dalam dunia akademik dan masyarakat. Nama beliau juga unik jika dibandingkan dengan nama-nama individu yang seusia dengan beliau. Nama beliau sebenarnya diambil daripada tokoh agama yang masyhur di Tanah Melayu suatu ketika dahulu. Beliau ialah Syeikhul Islam Selangor Tengku Mahmud Zuhdi (1876 – 1956). Beliau adalah mufti kerajaan Selangor bermula pada tahun 1929.  Nampaknya Profesor Mahmood Zuhdi mengikut jejak langkah pemilik asal nama berkenaan. Sekarang beliau bertugas sebagai dekan di Fakulti Ilmu Wahyu di UIAM.

1 comment: