Thursday, September 27, 2012

Gaya Lama l Gaya 'Ahmad Albab'


Gaya ‘Ahmad Albab’

Ahmad Albab ialah watak anak dalam salah sebuah filem Seniman P. Ramlee berkaitan anaknya yang bernama Ahmad Albab. Albab dalam Bahasa Arab bermaksud ‘pintu’. Ia diberi nama sedemikian oleh datuknya lakonan A.R. Tompel apabila Ahmad Albab berhenti menangis sewaktu datuknya mengetuk pintu. Kaedah memberikan nama berdasarkan situasi masyhur di zaman ibu bapa dan nenek moyang kita. Kita biasa mendengar nama-nama individu yang bernama Sabtu, Khamis, Isnin/Ithnin, Syawal, Ramdan (Ramadhan), Fitri, Putih, Merah, Awang dan sebagainya.

Nama-nama berkenaan adalah berdasarkan situasi seperti hari tertentu, bulan, keadaan anak sama ada jantina atau sifat pada badan dan situasi lain yang sesuai. Walaupun gaya ini dilihat sebagai gaya yang kolot dan ketinggalan, namun ia juga sesuai digunakan dalam konteks tertentu.

Nama ‘Majdah Nasri binti Yusof’

Perkataan ‘Nasri’ pada nama ini adalah unik. ‘Nasri’ biasanya diberi nama kepada anak lelaki, namun ‘Majdah Nasri’ ini adalah nama perempuan. Ibu bapa Majdah meletakkan nama ‘Nasri’ pada nama anak perempuan ini adalah sebagai doa kepada keluarga. Sewaktu kelahiran Majdah, hidup keluarga ini sangat susah dan terpaksa berjimat cermat. Nasri dalam Bahasa Arab bermaksud ‘pertolonganku’. Nama ‘Nasri’ memberi harapan dan doa supaya kelahiran anak perempuan ini membawa pertolongan dari Allah supaya hidup lebih senang dan bahagia.

Memberi nama anak berdasarkan situasi juga sesuai bagi memberi harapan kepada seluruh keluarga dan sebagai doa yang berpanjangan kepada Tuhan setiap kali nama anak itu disebut, ditulis dan sebagainya.

Apabila kehidupan keluarga dalam keadaan sedih, berikan nama anak yang membawa makna gembira dan bahagia. Apabila kehidupan keluarga yang susah dan terpaksa berjimat cermat, boleh berikan nama anak yang bermaksud kaya, mulia, tabah dan sebagainya.

Nota : Majdah Nasri adalah nama kakak penulis.

No comments:

Post a Comment