Thursday, July 18, 2013

Nama dan TV

Kanak-kanak banyak meluangkan masa menonton TV. Pelbagai rancangan TV yang ditonton mereka terutamanya rancangan kanak-kanak seperti animasi, drama kanak-kanak dan dokumentari haiwan. Apabila tidak menonton TV, mereka juga akan bermain-main di depan TV. Ibu bapa boleh menggunakan rancangan TV untuk menaikkan konsep diri anak-anak. Antara rancangan yang boleh digunakan ialah, berita, dokumentari dan rancangan siaran langsung.

Rancangan-rancangan ini banyak menyebut nama-nama individu tertentu. Sebagai contoh, pembaca berita TV banyak menyebut nama-nama individu yang hebat dan baik dalam laporan berita tersebut. Rancangan siaran langsung juga banyak menyebut nama-nama individu yang hebat. Sebagai contoh, rancangan siaran langsung pertandingan Tilawah al-Quran peringkat kebangsaan atau antarabangsa. Banyak nama-nama yang disebut dalam rancangan tersebut. Selain dapat mendengar bacaan ayat-ayat al-Quran, ibu bapa boleh menggunakan rancangan ini untuk menaikkan lagi konsep diri anak-anak.

Sebagai contoh, ada laporan berita TV tentang Sami Yusuf. Sewaktu laporan berita disiarkan dan gambar Sami Yusuf dipaparkan, kita terus berkata kepada anak, “Yusuf lihat, namanya Sami Yusuf. Nama ayahnya sama dengan nama Yusuf.” Antara ucapan yang boleh digunakan :

“Wah! Nama profesor ini juga Najwa.”
“Rafiq, pelumba basikal ini nama Rafiq juga.”
“CEO syarikat ini nama Aisyah juga, tentu beliau hebat.”
 “Qari dari Mesir itu bernama Malik, cuba Malik tengok, merdu betul suaranya.”
“Fatimah, qariah dari Thailand ini juga bernama Fatimah. Tajwid al-Quran yang dibacanya bagus.”
“Wah! Pengacara itu bernama Amin Idris sama macam nama Amin.”

Pengalaman penulis

Saban hari, penulis terkagum-kagum dengan nama sendiri apabila tokoh-tokoh yang hebat muncul dalam rancangan berita, surat khabar dan majalah isu semasa. Antaranya nama Saifuddin Abdullah, Saifuddin Ibrahim dan Saifuddin Nasution. Bertambah kagum apabila belajar di tingkatan tiga bagi mata pelajaran sejarah, apabila nama Sultan Brunei sewaktu Malaysia mencapai kemerdekaan tahun 1957 adalah Sultan Omar Ali Saifuddin. Kali pertama membacanya terus penulis mengingatinya hingga sekarang.

No comments:

Post a Comment